Ringgit susut berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit gagal mempertahankan kenaikan yang dicatat semalam dan mengakhiri urus niaga lebih rendah berbanding dolar AS pada petang Selasa.

Ini meskipun mata wang dolar AS bergerak lemah dan harga minyak mentah pula lebih kukuh.

Pada jam 6 petang, nilai mata wang tempatan berada pada 4.1845/1855 berbanding dolar AS daripada 4.1780/1815 pada hari Isnin.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan dolar AS/RM dilihat agak stabil pada siang hari urus niaga, sekitar RM4.18.

Walaupun kebimbangan terhadap konflik di Ukraine telah memuncak, kenaikan harga minyak mentah Brent yang sudah melepasi paras USS$99 setong sedikit sebanyak masih menyokong pergerakan ringgit.

Namun begitu, beliau berkata keadaan pasaran semasa agak goyah berikutan ketidakstabilan dan kebimbangan mengenai situasi geopolitik.

"Apa-apapun, ia adalah mengenai sama ada konflik itu akan membawa kepada pencerobohan seterusnya oleh pihak tentera.

"Memandangkan negara-negara Eropah sangat bergantung kepada Rusia untuk bekalan gas, konflik yang berterusan boleh menjuruskan kepada tekanan inflasi yang lebih ketara disebabkan pengukuhan harga minyak mentah," katanya.

Justeru, ini menguntungkan mata wang selamat seperti dolar AS dalam tempoh terdekat, tambahnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.1065/1077 daripada 3.1047/1075 pada penutup semalam dan merosot berbanding yen kepada 3.6444/6456 daripada 3.6384/6418 sebelumnya.

Bagaimanapun, nilai mata wang tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6826/6839 daripada 5.6959/7006 pada Isnin dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.7373/7384 daripada 4.7466/7506 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini