Dagangan ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Kebimbangan pelabur mengenai kempen untuk menaikkan kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS) bagi menstabilkan tekanan inflasi menyaksikan nilai ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar AS pagi ini.

Pada jam 9.00 pagi, nilai mata wang tempatan susut kepada 4.2100/2130 berbanding dolar AS daripada 4.2025/2060 pada penutup Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.27 peratus kepada 98.49 mata apabila Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) AS, Jerome Powell mengekalkan pendiriannya untuk menaikkan kadar faedah semasa berucap pada majlis Persatuan Kebangsaan Ekonomi Perniagaan (NABE).

Menurut laporan itu, Powell berkata, bank pusat AS mungkin menjadi lebih agresif dalam menaikkan kadar dana persekutuan kepada lebih daripada 25 mata asas pada mesyuarat dasarnya untuk mengekang inflasi.

"Kenyataan sebegitu juga disuarakan oleh dua gabenor Persekutuan, Raphael Bostic dan Thomas Barkin, yang turut menyokong langkah kenaikan kadar yang lebih pantas tahun ini," katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, sentimen menolak risiko berlaku apabila konflik ketenteraan di Ukraine masih belum surut dengan Russia terus menyerang Kyiv, Odesa dan lokasi lain, manakala kerajaan Ukraine enggan menyerahkan bandar pelabuhan Mariupol dan ini menyaksikan pertempuran sengit berterusan.

Justeru, Mohd Afzanizam berkata, ringgit boleh kekal lemah sepanjang hari, antara RM4.20 dan RM4.21 hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound Britain, dengan mata wang tempatan jatuh kepada 5.5307/5346 daripada 5.5250/5296 pada penutup Isnin.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0960/0987 daripada 3.0992/1020 semalam, meningkat berbanding yen Jepun pada 3.5092/5120 daripada 3.5247/5276 dan lebih tinggi berbanding euro pada 4.6251/6284 daripada 4.6463/6502 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini