Ringgit dibuka sedikit lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka sedikit lemah


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga pagi ini rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun harga minyak bertambah kukuh apabila konflik antara Russia-Ukraine menyebabkan peningkatan ketara dalam harga-harga minyak dan komoditi lain, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan terus merosot untuk diniagakan pada 4.1960/1990 berbanding dolar AS daripada 4.1930/1975 penutupan Jumaat.

Ketika ini, minyak mentah Brent didagangkan 1.82 peratus lebih tinggi pada AS$110.05 setong.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berpendapat konflik ketenteraan di Ukraine masih belum memperlihatkan sebarang bukti yang meyakinkan bahawa ia akan reda dalam tempoh terdekat.

"Oleh itu, pelabur mata wang akan terus berhati-hati, tetapi buat masa ini, nampaknya langkah monetari yang ketat baru-baru ini oleh bank pusat utama telah diterima baik.

"Mungkin, tumpuan kini beralih sedikit kepada kekuatan pemulihan ekonomi," katanya kepada Bernama, sambil menambah bahawa ringgit dijangka berlegar sekitar RM4.19 hingga RM4.20 hari ini.

Mohd Afzanizam seterusnya menambah, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) daripada pasaran maju minggu ini akan membantu pasaran memahami kemampanan pemulihan ekonomi global.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.5204/5232 daripada 3.5259/5300 pada penutup Jumaat dan meningkat berbanding euro kepada 4.6345/6378 daripada 4.6370/6420.

Bagaimanapun, nilai ringgit susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0949/0975 daripada 3.0924/0960 pada Jumaat lemas dan lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.5232/5271 daripada 5.5100/5159.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini