Harga minyak gagal sokong peningkatan ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak gagal sokong peningkatan ringgit



KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) walaupun harga minyak lebih kukuh akibat konflik di Ukraine, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1800/1840 berbanding dolar AS daripada 4.1765/1805 ketika ditutup pada Isnin.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata pasaran pertukaran mata wang asing (fx) masih dalam mod mengelak risiko dan urus niaga boleh kekal terumbang-ambing.

"Bagaimanapun, berdasarkan laporan berita, China bersedia untuk menjadi pengantara dalam konflik Ukraine, dan tajuk utama mengenai gencatan senjata bagi memindahkan orang awam telah mengurangkan permintaan terhadap dolar AS.

"Selain itu, penetapan kadar faedah yuan People's Bank of China yang lebih rendah daripada jangkaan dan yuan yang stabil, secara amnya terus menjadi tumpuan mata wang serantau. Ringgit tidak terkecuali," katanya kepada Bernama.

Innes juga menyatakan bahawa reaksi pasif ringgit terhadap harga minyak yang lebih tinggi mungkin disebabkan oleh pengimbangan stagflasi yang mungkin tiba pada satu ketika dan mengekang permintaan untuk eksport Malaysia, termasuk minyak.

Pada masa ini, minyak mentah Brent didagangkan 2.48 peratus lebih tinggi pada AS$126.3 setong.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen kepada 3.6159/6197 daripada 3.6295/6333 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4837/4890 daripada 5.5005/5057.

Bagaimanapun, ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0656/0688 daripada 3.0606/0638 dan susut berbanding euro kepada 4.5508/5551 daripada 4.5344/5388.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini