Harga minyak tinggi lonjak nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak tinggi lonjak nilai ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit pulih daripada penurunan semalam untuk ditutup sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dirangsang oleh permintaan belian dan kenaikan harga minyak mentah yang berterusan, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu berada pada 4.1870/1890 berbanding dolar AS 4.1935/1955 ketika ditutup pada Rabu.

Seorang peniaga berkata, harga minyak meneruskan aliran meningkat pada Khamis, dengan minyak mentah Brent melonjak melebihi AS$116 setong berikutan gangguan perdagangan dan isu penghantaran akibat sekatan Russia berhubung krisis Ukraine yang mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan sementara stok minyak mentah AS jatuh ke paras terendah dalam beberapa tahun.

Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) termasuk Russia memutuskan untuk mengekalkan peningkatan pengeluaran sebanyak 400,000 tong sehari bulan ini walaupun harganya melonjak, tanpa menghiraukan krisis Ukraine semasa perbincangan mereka dan menolak permintaan daripada pengguna untuk lebih banyak minyak mentah, katanya.

Sementara itu, MARC Ratings Bhd menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) terendah dalam sejarah pada 1.75 peratus dan ia menjangkakan bank pusat itu meneruskan pendirian berhati-hati sambil mengekalkan penilaiannya terhadap ekonomi dan prospek inflasi.

"BNM berada dalam status quo ini sejak Julai 2020 untuk menyokong pemulihan ekonomi yang tidak kukuh," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Ketika ditutup, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0816/0833 daripada 3.0882/0899 ketika ditutup semalam namun jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6035/6061 daripada 5.5807/5834.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen kepada 3.6160/6181 daripada 3.6399/6419 pada Rabu dan naik berbanding euro kepada 4.6396/6418 daripada 4.6481/6503 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini