Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila minat belian terhadap unit negara maju itu pulih, didorong oleh penurunan data tuntutan awal penganggurannya, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.1900/1920 berbanding 4.1870/1890 pada akhir urus niaga Khamis.

Menurut laporan, tuntutan awal pengangguran AS adalah 215,000 bagi minggu berakhir 26 Februari iaitu penurunan sebanyak 18,000 daripada paras semakan semula sebanyak 232,000 pada minggu lalu.

"Ini menunjukkan bahawa pasaran tenaga kerja AS semakin pulih dan jauh lebih awal daripada laporan pekerjaan utama Februari yang akan diumumkan lewat hari ini," katanya.

Dalam pada itu, satu laporan menyebut harga minyak yang mencatat aliran peningkatan sejak krisis geopolitik Rusia-Ukraine bermula, kini semakin menurun susulan spekulasi mengenai aktiviti nuklear Iran yang berkemungkinan besar dimeterai dalam tempoh 72 jam.

Menurut laporan itu, kalangan peniaga memberi reaksi terhadap kemungkinan bahawa Iran bakal meningkatkan jumlah tong minyak di pasaran dengan beberapa pembeli bersedia membeli minyak mentah Rusia selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mengarah serangan ke atas Ukraine.

Setakat pagi Jumaat, harga minyak mentah Brent diniagakan pada paras AS$113 setong, susut daripada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun iaitu AS$118 setong.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0807/0824 daripada 3.0816/0833 pada akhir urus niaga semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5815/5842 daripada 5.6035/6061.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding yen kepada 3.6302/6323 daripada 3.6160/6181 sebelum ini namun meningkat berbanding euro kepada 4.6153/6175 daripada 4.6396/6418.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini