Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Isnin, disokong oleh pemulihan ekonomi global yang bergerak pada kelajuan yang sesuai, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.00 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2070/2115 berbanding dolar AS daripada 4.2080/2110 pada penutup Jumaat.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit Malaysia telah menunjukkan aliran yang baik berbanding dolar AS minggu lalu, walaupun ketidaktentuan berhubung konflik ketenteraan di Ukraine masih berterusan.

"Minggu lalu, ringgit meningkat kepada RM4.2095 selepas dirangsang oleh data ekonomi yang positif.

"Daripada sudut carta teknikal, ringgit nampaknya berada dalam kedudukan terlebih jual, menunjukkan kemungkinan mata wang itu akan meningkat dalam tempoh terdekat," katanya.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata ringgit boleh bergerak antara RM4.19 dan RM4.20 hari ini.

Menurut laporan itu, tuntutan pengangguran AS turun lagi kepada 187,000 untuk minggu berakhir 19 Mac, daripada 215,000 pada minggu sebelumnya dan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dalam ekonomi utama terus berlegar di atas penanda aras 50 mata, menandakan sentimen perniagaan masih positif.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.5356/5415 daripada 5.5394/5434 pada Jumaat dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.6151/6200 daripada 4.6305/6338 sebelumnya.

Ringgit turut menambah nilai berbanding yen kepada 3.4413/4453 daripada penutup Jumaat 3.4608/4633 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0950/0987 daripada 3.1021/1045 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini