Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat dalam situasi negara maju itu merekodkan data ekonomi yang positif, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2200/2250 berbanding dolar AS daripada 4.2240/2250 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jumlah tuntutan insurans pengangguran AS berkurangan kepada 187,000 bagi minggu berakhir 19 Mac daripada 215,000 pada minggu sebelumnya.

Beliau berkata prestasi itu sekali gus menunjukkan keadaan pasaran buruh AS yang baik.

"Indeks Pengurus Pembelian AS dan beberapa ekonomi Eropah yang lain juga agak baik dengan indeks penanda arasnya kekal di atas ambang 50 mata.

"Ini menunjukkan dalam kalangan pengeluar pihak yang paling optimis mengenai prospek masa depan walaupun konflik ketenteraan menimbulkan cabaran tambahan dalam persekitaran operasi," katanya.

Mohd Afzanizam berkata secara keseluruhan, kadar faedah AS dijangka lebih tinggi dan ini akan menyokong nilai mata wangnya yang menunjukkan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.17 peratus kepada 98.789 mata.

Dari sudut pandang teknikal, ringgit berbanding dolar AS dilihat telah berada dalam situasi terlebih jual, katanya.

"Ringgit dijangka kekal bergerak pada RM4.22 kerana risiko penurunan nampaknya agak terhad ketika ini," katanya.

Ketika dibuka pada Jumaat, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1091/1130 daripada 3.1107/1119 ketika ditutup pada Khamis, dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.4576/4620 daripada 3.4714/4725.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding pound British kepada 5.5653/5719 daripada 5.5651/5664, serta turun berbanding euro kepada 4.6454/6509 daripada 4.6426/6437 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini