Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu, berikutan mata wang Amerika Syarikat (AS) itu merosot dalam sentimen mengambil risiko dalam pasaran ekuiti AS, kata penganalisis.

Pada 9.00 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2060/2100 berbanding dolar AS daripada 4.2120/2155 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata indeks dolar AS (DXY) merosot sebanyak 0.69 peratus kepada 98.40 mata semalaman manakala indeks S&P 500 meningkat 1.23 peratus hampir kepada 4.361.60 mata, memberi petunjuk sentimen mengambil risiko dalam pasaran AS.

"Bagaimanapun, situasi masih tidak tetap dan pelabur ingin mendapatkan lebih banyak maklumat," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata ringgit dijangka meningkat, berdasarkan kemungkinan pengurangan pencerobohan tentera Russia.

Menurut laporan berita, Russia dan Ukraine optimis dengan berhati-hati selepas perunding memuktamadkan pusingan rundingan damai, dengan Russia menyatakan bahawa ia akan mengurangkan aktiviti ketenteraan "untuk meningkatkan kepercayaan bersama".

"Setakat ini, dilihat tidak begitu teruja dalam kalangan pegawai Ukraine berikutan langkah untuk mengurangkan operasi ketenteraan Rusia di utara Ukraine dilihat sebagai langkah taktikal," katanya.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding pound.

Unit tempatan meningkat berbanding pound kepada 5.5086/5138 daripada 5.5114/5160 semasa ditutup pada Selasa, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.6674/6718 daripada 4.6492/6531 sebelum ini.

Ringgit turut susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1013/1047 daripada 3.0966/0994 semalam dan merosot berbanding yen kepada 3.4332/4367 daripada 3.4042/4073 sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini