Ringgit ditutup lebih rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup lebih rendah


KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan mata wang negara maju itu terus mengukuh selepas Rizab Persekutuan (Fed) AS membayangkan satu lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2160/2190 berbanding dolar AS daripada 4.2025/2060 semasa ditutup pada Isnin.

"Ternyata, kenyataan oleh pegawai Fed baru-baru ini menyumbang kepada dolar AS yang kukuh.

"Berdasarkan konflik ketenteraan yang berterusan yang memberi impak ketara kepada kenaikan harga komoditi, ia sebenarnya membantu mengukuhkan situasi untuk kadar dana Fed AS yang lebih tinggi," kata Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Katanya, pada masa ini, pelabur berasa gelisah mengenai dasar monetari di pasaran maju berikutan situasi mudah tunai mungkin tidak begitu banyak seperti sebelum ini berdasarkan bank-bank pusat ini dalam langkah untuk mengurangkan pembelian aset mereka yang menjadi pemacu utama untuk harga ekuiti yang lebih tinggi semasa era pandemik dalam tempoh dua tahun lalu.

Pengerusi Fed, Jerome Powell, menyatakan bahawa pasaran buruh AS pada masa ini kukuh dan inflasi terlalu tinggi, justeru terdapat keperluan untuk mengembalikan pendirian dasar monetari kepada tahap yang lebih neutral.

"Jika kami merumuskan bahawa adalah wajar untuk mengambil langkah yang lebih agresif dengan menaikkan kadar dana persekutuan lebih daripada 25 mata asas, kami akan berbuat demikian," katanya.

Pada penutup, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1027/1052 daripada 3.0992/1020 dan berbanding pound, ia berkurangan kepada 5.5580/5619 daripada 5.5250/5296.

Berbanding yen, unit tempatan meningkat kepada 3.4880/4908 daripada 3.5247/5276 dan naik kepada 4.6346/6379 daripada 4.6463/6502 berbanding euro.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini