Risiko stagflasi beri kesan kepada ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Risiko stagflasi beri kesan kepada ringgit


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu apabila pelabur diasak tekanan untuk menjual aset berisiko ketika sentimen pasaran dijejaskan oleh kebimbangan mengenai stagflasi.

Keadaan stagflasi merujuk kepada situasi termasuk pertumbuhan ekonomi perlahan dan kadar inflasi tinggi bagi tempoh yang lama.

Pada jam 6 petang 9 Mac 2022, ringgit susut kepada 4.1845/1875 berbanding dolar AS daripada 4.1800/1840 pada akhir urus niaga Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata situasi semasa jelas memberi tekanan ke atas pergerakan ringgit.

"Stagflasi didorong oleh kenaikan harga minyak dan perkembangan sedemikian sama sekali tidak membantu prestasi ringgit," katanya.

Innes turut menyifatkan pelabur juga sedang bergelut dengan kebanjiran maklumat mengenai perkembangan semasa.

Sehingga petang ini, harga minyak mentah Brent diniagakan pada paras AS$126.8 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain kecuali bagi yen Jepun.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.6126/6155 daripada 3.6159/6197 semalam namun susut berbanding pound Britain kepada 5.5068/5108 daripada 5.4837/4890.

Unit tempatan itu turut rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0739/0766 daripada 3.0656/0688 dan susut berbanding euro kepada 4.5912/5945 daripada 4.5508/5551.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini