Harga minyak jatuh, ringgit dibuka rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Harga minyak jatuh, ringgit dibuka rendah


KUALA LUMPUR: Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi dagangan awal pagi Isnin kerana kekurangan permintaan berikutan kejatuhan harga minyak mentah selain data Indeks Pengurus Pembelian (PMI) China yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9.00 pagi, mata wang tempatan didagangkan pada 4.2130/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2110/2135 pada penutup Jumaat.

Ketika ini, minyak mentah Brent berada pada paras AS$103.81 setong, susut 0.57 peratus manakala niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS turun 0.70 peratus kepada AS$98.59 setong.

Rakan pengurusan global di SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata PMI China yang lemah, merosot kepada 48.1 pada Mac, menunjukkan kadar penguncupan paling ketara sejak Februari 2020 daripada 50.4 pada bulan sebelumnya.

"Namun begitu, unit tempatan terus bergelut di tengah-tengah ketidaktentuan dalam kalangan rakan dagangan utama seperti ekonomi Eropah dan China yang membawa risiko penurunan kepada pertumbuhan eksport," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, seorang penganalisis lain berkata, harga minyak meneruskan aliran menurun ketika Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengalu-alukan gencatan senjata selama dua bulan di sempadan Arab Saudi-Yaman.

Innes berkata, peserta pasaran turut bimbang mengenai bekalan global sejak pencerobohan Russia terhadap Ukraine pada Februari.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1056/1080 daripada 3.1061/1082 pada penutup Jumaat dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5241/5280 daripada 5.5286/5319.

Ringgit menambah nilai berbanding euro kepada 4.6545/6578 daripada 4.6557/6584 pada Jumaat tetapi susut nilai berbanding yen kepada 3.4420/4447 daripada 3.4376/4399.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini