Ringgit dibuka sedikit kukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka sedikit kukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga Selasa dengan mencatat pengukuhan kecil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh minat belian terhadap mata wang tempatan, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit berada di paras 4.2175/2220 berbanding dolar AS daripada 4.2185/2215 yang dicatatkan pada akhir urus niaga semalam.

Seorang peniaga berkata, perkembangan itu disebabkan oleh peningkatan semula sentimen di pasaran ekuiti tempatan yang menyaksikan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI dibuka dengan menokok 2.74 mata kepada 1,601.66.

Bagaimanapun, dolar AS terus mengekalkan tarikannya sebagai mata wang selamat meskipun dalam persekitaran tidak menentu apabila Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.39 peratus kepada 98.989 mata, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid kepada Bernama.

"Prestasi ekuti yang mencatat pemulihan kukuh dengan indeks teknologi Nasdaq menokok 1.9 peratus untuk ditutup pada 14,532.55 mata manakala minyak mentah Brent sekitar AS$108 setong walaupun terdapat rancangan untuk melepaskan minyak simpanan oleh AS bagi menstabilkan harga minyak.

"Selain itu, keluk hasil Perbendaharaan AS pula menyaksikan nota dua tahun meraih pulangan lebih tinggi berbanding hasil 10 tahun, satu fenomena yang berkait rapat dengan kemungkinan berlakunya kemelesetan tidak lama lagi," katanya menambah pasaran kewangan berdepan dengan setiap kelas aset memberi petunjuk yang bercampur-campur.

Mohd Afzanizam berkata, seiring dengan ketidaktentuan krisis ketenteraan di Ukraine serta isyarat lain daripada pasaran kewangan, permintaan terhadap mata wang selamat terutama dolar AS, dijangka terus menguasai setimen pasaran mata wang asing.

Berikutan itu, beliau berpendapat bahawa ringgit kekal kurang memberangsangkan dengan jangkaan mencecah paras sekitar RM4.22 berbanding dolar AS, hari ini.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.5296/5355 daripada 5.5330/5369 semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6291/6341 daripada 4.6441/6474.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1091/1127 daripada 3.1082/1109 pada Isnin dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.4420/4462 daripada 3.4414/4442 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini