Kejatuhan yuan beri kesan kepada ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Kejatuhan yuan beri kesan kepada ringgit



SHAH ALAM - Ringgit terus menyusut berbanding dolar AS ke paras terendah dalam tempoh hampir dua tahun pada RM4.29, dicetuskan susulan daripada kelemahan mata wang China, yuan.

Faktor lain yang menentukan jangka terdekat arah mata wang ringgit adalah termasuk pengukuhan Indeks Dolar AS yang mengukur prestasi dolar AS berbanding sekumpulan mata wang.

Menurut laporan The Star pada Jumaat, pakar ekonomi memaklumkan terdapat faktor bertembung yang menyebabkan kelemahan dalam ringgit di samping peranan faktor luaran dan dalaman.

Ringgit telah mengalami penyusutan sejak minggu lepas dan ia didagangkan pada purata RM4.20 kepada dolar pada Mac lalu.

Ketua ekonomi kumpulan AmBank, Anthony Dass berkata, ringgit telah melemah sejajar dengan yuan yang juga melemah berbanding dolar.

"Dolar AS telah mengukuh, didorong oleh jangkaan kenaikan kadar yang agresif dengan kenaikan Mei dijangka berada pada 50 mata asas," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata, terdapat juga kemungkinan pembalikan aliran dana daripada pasaran baharu disebabkan terdapatnya potensi pengetatan dasar monetari.

“Aliran ekuiti asing ke Bursa Malaysia berada dalam kedudukan belian bersih sehingga baru-baru ini. Jualan bersih asing sejak 12 April menyaksikan aliran keluar sebanyak RM38 juta. Ini seiring dengan Indeks Muncul MSCI yang telah menurun dengan ketara sejak 21 Mac lalu,” ujarnya.

Dass pada masa sama turut menekankan bahawa harga minyak mentah yang kukuh akan memberikan sokongan kepada ringgit.

"Ini sepatutnya menyediakan sedikit penimbal untuk mengekalkan ringgit pada RM4.30 kepada satu dolar," kata Dass.

FBM KLCI kekal berhampiran pada paras sokongan 1,600 memperoleh 4.57 mata atau 0.29 peratus kepada 1,598.32 mata.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, arena global juga memperbaharui pengelakan mereka terhadap risiko perang berpanjangan antara Rusia dan Ukraine.

“Kenaikan dalam dolar AS yang dikaitkan dengan beberapa faktor juga boleh membayangkan pelarian ke mata wang tempat selamat.

“Pelabur menolak potensi peningkatan konflik Rusia-Ukraine kerana laporan menunjukkan bahawa negara-negara barat telah membekalkan senjata kepada Ukraine dan ini mungkin mengakibatkan konflik yang berpanjangan.

"Ini akan menjejaskan kecenderungan risiko global yang akhirnya boleh menjejaskan pasaran ekuiti," kata Kim Leng.

Mata wang tempat selamat yang dianggap di Asean ialah dolar Singapura. Ringgit telah melemah kepada RM3.15 bagi setiap dolar Singapura pada masa akhbar, iaitu terendah sejak Januari 2017.

Kim Leng berkata, terdapat jangkaan untuk dolar AS yang lebih kukuh bergerak ke hadapan kerana pelabur menjangkakan kenaikan kadar faedah atas prestasi ekonomi AS yang lebih baik daripada jangkaan.

“Selain itu, tinjauan ekonomi China berkait rapat dengan Malaysia kerana China adalah rakan dagang terbesar negara itu,” katanya.

Menurutnya, tinjauan ekonomi jangka pendek China juga berkemungkinan terjejas disebabkan strategi ketatnya dalam menangani Covid-19.

Tambah beliau, pelabur asing turut berkemungkinan menjual aset Malaysia dengan menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membubarkan asetnya berikutan pusingan keempat pengeluaran sehingga RM10,000 mulai 1 April.

"Ini juga merupakan faktor penyumbang kerana sebarang penjualan menurun dalam bidang seperti pasaran bon boleh menjejaskan prestasi ringgit," ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat faktor yang boleh memberi sedikit sokongan kepada ringgit dalam jangka pendek termasuk rizab mata wang asing negara yang semakin meningkat.

"Ini akan membantu mengurangkan sebarang penurunan teruk dalam susut nilai mata wang," katanya

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini