Nilai ringgit merosot lima hari berturut-turut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit merosot lima hari berturut-turut


KUALA LUMPUR: Ringgit susut bagi hari kelima berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, penurunan 2.75 peratus setakat ini bagi 2022 kepada 4.2875 berikutan sentimen global yang lemah dan sejajar dengan prestasi yuan China, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.2875/2910 berbanding dolar AS daripada 4.2800/2830 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata sentimen global yang lemah dan kekurangan permintaan terhadap mata wang tempatan telah mendorong sejumlah penjualan ringgit.

"Berdasarkan data, kami mendapati ada penjualan oleh pegangan asing, dan ini juga disebabkan beberapa penjualan dalam ekuiti tempatan," katanya kepada Bernama.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata kelemahan yuan China telah mempengaruhi prestasi ringgit.

"Ringgit mengalami tekanan disebabkan yuan, dan pelabur Asia percaya kenaikan kukuh yang dicatatkan pasaran bon AS semasa hanyalah rehat sementara, dengan hasil AS yang tinggi pula akan menyusul," katanya.

Beliau berkata, kebimbangan bukan hanya mengenai hasil AS yang tinggi malah pengurangan saiz lembaran imbangan oleh Rizab Persekutuan AS, yang boleh menjejaskan ringgit.

Yuan China susut kepada paras terendah dalam tempoh enam bulan berbanding dolar AS pada Khamis selepas People's Bank of China menetapkan titik tengah harian yang lebih rendah, memandangkan pembelian dolar korporat dan jangkaan pengetatan dasar AS yang menyokong dolar AS.

Sementara itu, ringgit juga diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1496/1524 daripada 3.1371/1398 ketika ditutup pada Rabu serta rendah berbanding yen Jepun kepada 3.3478/3508 daripada 3.3432/3458.

Ringgit juga lemah berbanding pound British kepada 5.6003/6049 daripada 5.5781/5820 ketika ditutup semalam dan turun berbanding euro kepada 4.6794/6832 daripada 4.6468/6501.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini