Ringgit meningkat selepas tujuh hari susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit meningkat selepas tujuh hari susut


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi selepas tujuh hari susut pada hari Selasa berikutan pasaran dalam mod pembetulan.

Bagaimanapun, momentum keseluruhan kekal tidak stabil susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap pertumbuhan global selepas ujian COVID-19 secara besar-besaran di China mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku pelaksanaan sekatan penuh di Beijing, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Selain itu, dolar Amerika Syarikat (AS) terus melonjak dan mencecah paras tertingginya dalam tempoh dua tahun semalam ekoran jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) perlu menaikkan kadar faedah secara agresif untuk menangani inflasi.

Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.3545/3570 berbanding dolar AS daripada 4.3560/3580 ketika ditutup pada Isnin.

Mohd Afzanizam berkata, pasaran mata wang perlu bertahan dalam tempoh ketidaktentuan ketika ini sehingga mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat minggu depan.

"Tumpuan kekal pada mesyuarat FOMC AS minggu depan dengan jangkaan bahawa kenaikan kadar 50 mata asas akan pasti berlaku.

"Selain itu, Fed juga dijangka mengumumkan pelan pengurangan lembaran imbangan. Ia perlu mengeluarkan lebihan mudah tunai dalam sistem kerana ekonomi telah pulih dengan agak konsisten," katanya kepada Bernama.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata paras rintangan seterusnya bagi dolar AS berbanding ringgit dilihat pada 4.3650 dan harga itu dijangka mencapai paras itu menjelang Rabu atau Khamis ini.

"Bagaimanapun, ada kemungkinan kuasa beli untuk dolar AS akan mula menurun hanya apabila ia mencapai paras 4.4450 yang merupakan paras tertinggi pada 2017," katanya.

Sementara itu, dolar Singapura terus berada pada paras tertinggi berbanding ringgit selepas Penguasa Kewangan Singapura (MAS) memutuskan baru-baru ini untuk membenarkan peningkatan kadar pertukaran efektif nominal mata wang itu sebagai petunjuk pengetatan dasar monetarinya.

Secara keseluruhan, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.4065/4087 daripada 3.3968/3986 ketika ditutup pada Isnin dan berada pada 3.1697/1720 berbanding dolar Singapura berbanding 3.1698/1718 sebelumnya.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6532/6559 daripada 4.6740/6761 semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.5359/5391 daripada 5.5426/5451.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini