Dagangan ringgit dibuka lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit dibuka lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, didorong oleh minat belian diperbaharui di tengah-tengah permintaan yang agak berkurangan untuk dolar AS berikutan hasil Perbendaharaan yang lebih lemah, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3500/3530 berbanding dolar AS daripada penutup Isnin pada 4.3560/3580.

Menurut laporan, permintaan untuk Perbendaharaan AS menyebabkan hasil merosot pagi Isnin kerana kebimbangan terhadap ekonomi China menambahkan lagi kerisauan mengenai kenaikan kadar faedah AS yang lebih cepat daripada yang dijangkakan.

Hasil bagi nota Perbendaharaan 10 tahun, yang jatuh lapan mata asas kepada 2.825 peratus petang Isnin selepas merosot di bawah 2.8 peratus, sepatutnya menawarkan sedikit kelegaan kepada ringgit hari ini, kata Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

"Bagaimanapun, saya tidak mencadangkan apa-apa pergerakan cergas lagi kerana kami masih mempunyai mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang berkecenderungan untuk menaikkan kadar faedah sedang menunggu untuk sebarang penurunan dolar AS pada minggu pertama bulan Mei.

"Saya berpendapat ringgit-dolar AS berkemungkinan bergerak antara 4.3450 hingga 4.3600, kerana risiko global sepatutnya menjadi lebih baik berikutan hasil AS yang lebih lemah," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 3.4091/4117 daripada penutup Isnin 3.3968/3986 semalam tetapi meningkat berbanding euro kepada 4.6671/6703 daripada 4.6740/6761.

Ringgit juga menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1680/1707 daripada penutup Isnin 3.1698/1718 tetapi menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.5445/5483 daripada 5.5426/5451.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini