Ringgit susut ke paras paling rendah sejak Jun 2020 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut ke paras paling rendah sejak Jun 2020

 


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang berada dalam aliran menurun sejak awal Mac lalu, susut melepasi paras RM4.28 sedolar pada pagi tadi.

Ia adalah paras paling lemah sejak Jun 2020 dengan lonjakan dalam indeks dolar AS yang mengukur nilai dolar berbanding mata wang lain melonjak melebihi 101, buat kali pertama dalam tempoh dua tahun.

Nilai dolar AS mengukuh berikutan jangkaan bahawa bank pusat negara itu akan mempercepatkan kenaikan kadar faedahnya untuk mengekang inflasi yang melonjakkan indeks dolar AS.

Peningkatan indeks dolar AS melebihi 101 adalah pertama kali sejak Mac 2020 selepas dolar AS mencecah paras tinggi 20 tahun berbanding yen Jepun dan menguji paras tertinggi dalam tempoh dua tahun berbanding euro.

Bagaimanapun, pergerakan ringgit kembali stabil pada tengahari untuk berada pada paras 4.267 berbanding dolar AS.

Pakar strategi DBS Group Research, berkata ringgit menyusut sejak sembilan bulan lalu iaitu antara 4.14 dan 4.24 bagi setiap dolar AS.

"Unjuran pergerakan ringgit berbanding dolar AS adalah 4.30 menjelang akhir suku ketiga tahun ini," katanya.

Sementara itu, katanya, pergerakan dalam ruang kadar global tidak lagi dikuasai semata-mata oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

"Tumpuan kini telah beralih kepada Bank Pusat Eropah (ECB) dan mungkin pengiktirafan yang lebih besar bahawa dasar fiskal mungkin kekal longgar di zon euro untuk beberapa waktu. Jika ECB serius untuk membendung inflasi, kadar sebenar tersirat perlu meningkat.

Selain daripada Fed, hanya ECB yang mampu memberikan pengaruh sebanyak ini ke atas kadar global. Walau apa pun, kadar euro penting dan boleh menyumbang kepada kebimbangan tempoh puncak yang kami jangkakan akan terjejas pada suku kedua," kata Pakar Strategi Kumpulan DBS, Eugene Leow dan Philip Wee dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Leow dan Wee menegaskan, harga minyak mentah Brent juga susut 5.2 peratus kepada AS$107.25 setong berikutan kebimbangan permintaan yang lebih perlahan, menepis serangan baharu Russia di timur Ukraine.

Baru-baru ini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengurangkan unjuran pertumbuhan global di bawah 4.0 peratus, dengan kebanyakan mata wang Asia sedang pesat membangun susut nilai dan kekal di bawah tekanan.

"Di pasaran Asia yang baru muncul, Renminbi (CNY) susut 0.4 peratus kepada 6.3935 bagi setiap dolar AS, di luar julat bulanan antara 6.36 dan 6.38. Renminbi luar pesisir (CNH) pula terjejas teruk kepada 6.4192, paras terendah sejak Oktober lalu.

"IMF mengesahkan jangkaan bahawa China akan terlepas untuk mencapai sasaran pertumbuhan rasminya 5.5 peratus tahun ini. Pertumbuhan terkini China adalah 4.4%, lebih rendah berbanding 4.8 peratus yang diramalkan ahli ekonomi," kata pakar strategi DBS Group Research.

Ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS pada sesi awal Rabu dalam persekitaran sentimen pasaran yang lebih berhati-hati terhadap pendekatan Fed AS menaikkan kadar faedahnya dalam mesyuarat akan datang pada awal Mei ini, kata penganalisis.

Pada jam 9.02 pagi, ringgit susut kepada 4.2725/2775 berbanding dolar AS daripada 4.2505/2515 pada akhir urus niaga Isnin.

Pasaran ditutup semalam bersempena cuti umum Nuzul Al-Quran.

Dipetik BERNAMA, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Presiden Fed St Louis, James Bullard telah membayangkan mengenai kemungkinan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas.

"Ini telah menyebabkan Indeks Dolar AS melonjak kepada 100.987 mata dan sememangnya melebihi paras 100 mata selama lima hari urus niaga berturut-turut.

"Dolar AS/ringgit telah mencecah paras rintangannya pada RM4.2762 dan berdasarkan petunjuk teknikal, ringgit telah berada pada kedudukan terlebih jual. Berikutan itu, ringgit sepatutnya pada sekitar RM4.27 pada masa ini," katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI, Stephen Innes menjangkakan, ringgit akan kekal dalam mod bertahan berikutan satu lagi peningkatan hasil Perbendaharaan AS selain tiada sebarang perubahan penggubal dasar China bagi melonggarkan sekatan pergerakan susulan COVID-19.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1236/1275 daripada 3.1228/1240 pada Isnin namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3046/3087 daripada 3.3569/3579.

Ringgit rendah berbanding pound Britain kepada 5.5624/5689 daripada 5.5303/5316 serta susut berbanding euro kepada 4.6130/6184 daripada 4.5867/5878.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini