Ringgit susut semula - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit susut semula




KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah semula apabila permintaan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) yang kukuh terus mendominasi di tengah-tengah kebimbangan terhadap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan dan kerisauan yang semakin meningkat terhadap risiko pertumbuhan China.

Ketidaktentuan dalam pasaran minyak yang menyebabkan harga tersekat pada AS$100 setong turut menjejaskan mata wang tempatan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut 0.06 peratus kepada 4.3565/3605 berbanding dolar AS daripada 4.3545/3570 sewaktu ditutup Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, menjangkakan ringgit akan kekal lemah dalam tempoh terdekat.

"Menghindari risiko kekal tersebar dalam pasaran pertukaran asing hari ini. Indeks Dolar AS (DXY) meningkat lagi kepada 102.617 mata," katanya kepada Bernama.

China berdepan kelembapan dalam pertumbuhan selepas beberapa siri sekatan di tengah-tengah peningkatan kes COVID-19 dan kebimbangan seperti itu boleh membawa kepada aliran menurun selanjutnya kepada mata wang Malaysia.

Ekonomi kedua terbesar di dunia itu telah mengalihkan tumpuan COVID-19 ke Beijing, dengan penduduk sudah mula menyediakan stok makanan dan bekalan penting kerana menjangkakan sekatan di seluruh bandar.

China terus menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009, dengan jumlah dagangan mencecah AS$176.8 bilion (RM740 bilion) pada 2021, atau pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus di tengah-tengah usaha memerangi pandemik COVID-19.

Negara itu juga kekal sebagai destinasi sumber import terbesar Malaysia.

Secara keseluruhannya, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan itu meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.4056/4090 daripada 3.4065/4087 pada penutup semalam dan melonjak berbanding euro kepada 4.6236/6278 daripada 4.6532/6559.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1592/1609 daripada 3.1697/1720 pada penutup semalam dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4844/4894 daripada 5.5359/5391.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini