Ringgit terus berada di bawah tekanan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus berada di bawah tekanan


KUALA LUMPUR: Ringgit dan kumpulan mata wang utama lain terus berada di bawah tekanan selepas jangkaan kenaikan kadar faedah 50 mata asas (bps) oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) menyokong dolar Amerika Syarikat (AS).

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot paras terendah dalam tempoh dua tahun kepada 4.3560/3580 berbanding dolar AS daripada 4.3230/3270 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pasaran mata wang akan terus ditentukan oleh mesyuarat Fed yang dijadualkan berlangsung minggu depan.

"Ringgit telah melepasi paras rintangan 4.34 dan paras rintangan seterusnya adalah sekitar 4.36. Sentimen penghindaran risiko begitu dominan pada masa ini.

"Malah, euro jatuh berbanding dolar AS walaupun penyandang jawatan Presiden Perancis Emmanuel Macron memenangi pilihan raya Presiden," katanya kepada Bernama.

Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) akan diadakan pada 3 hingga 4 Mei.

Komen yang dibuat oleh pengerusi Fed, Jerome Powell dan penganalisis telah meningkatkan prospek kenaikan kadar faedah mulai bulan depan.

Sementara itu, ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.3968/3986 daripada 3.3652/3686 pada Jumaat dan susut berbanding euro kepada 4.6740/6761 daripada 4.6710/6753.

Mata wang tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1698/1718 daripada 3.1633/1667 pada Jumaat tetapi naik berbanding pound Britain kepada 5.5426/5451 daripada 5.5641/5693 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini