Ringgit teruskan aliran peningkatan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit teruskan aliran peningkatan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan peningkatannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan selera risiko yang lebih baik terhadap mata wang tempatan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2220/2260 berbanding dolar AS daripada 4.2290/2320 sewaktu ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata beliau menjangka ringgit akan terus didagangkan sekitar paras RM4.23 hari ini berikutan ketidaktentuan ekonomi yang membimbangkan.

"Setakat ini, ekonomi domestik dijangka kekal berdaya tahan dengan data perdagangan borong dan runcit terkini yang menunjukkan peningkatan sebanyak 8.5 peratus kepada RM117.6 bilion pada Februari.

"Ini menunjukkan (pertumbuhan) sektor berteraskan perkhidmatan yang membentuk lebih separuh daripada ekonomi kita, akan dipercepatkan berikutan pembukaan semula sektor ekonomi yang seterusnya," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, indeks pasaran ekuiti utama di AS mencatatkan kenaikan yang memuaskan malam tadi, manakala sekuriti Perbendaharaan AS berjangka pendek menyaksikan hasil yang lebih rendah walaupun Indeks Harga Pengeluar (PPI) adalah lebih tinggi daripada jangkaan.

PPI AS menokok 11. 2 peratus pada Mac daripada 10.4 peratus pada Februari, manakala konsensus diunjurkan meningkat 10.6 peratus, katanya.

"Pasaran dilihat menjangkakan kadar inflasi akan mencapai paras kemuncaknya tidak lama ini, justeru, Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin cenderung untuk tidak terlalu agresif dalam kempen kenaikan kadar faedahnya.

"Sementara itu, bank-bank pusat lain seperti Reserve Bank of New Zealand dan Bank of Canada telah menaikkan penanda aras kadar faedah mereka kepada 50 mata asas (bps), masing-masing kepada 1.50 peratus dan 1.00 peratus," katanya.

Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS merosot 0.44 peratus kepada 99.85 mata berikutan hasil Perbendaharaan AS dua tahun susut enam bps kepada 2.35 peratus; menunjukkan peserta pasaran mungkin telah meredakan jangkaan mereka ke atas langkah agresif Fed berikutan kadar jangka pendek kebiasaannya akan memberi tindak balas kepada tindakan bank pusat.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1117/1151 daripada 3.1009/1033 pada Rabu dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.3631/3665 daripada 3.3548/3574.

Unit tempatan merosot berbanding pound Britain kepada 5.5363/5416 daripada 5.5028/5067 dan susut berbanding euro kepada 4.5948/5992 daripada 4.5813/5845 sebelum ini.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini