Ringgit lemah: Beli barang tempatan, elak melancong luar negara - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit lemah: Beli barang tempatan, elak melancong luar negara


KUALA LUMPUR: Pengguna dinasihatkan untuk mengawal perbelanjaan dengan mengutamakan pembelian produk buatan Malaysia serta mengehadkan kehendak melancong ke luar negara susulan senario kelemahan nilai ringgit yang berlaku ketika ini, demikian mengikut ahli ekonomi.

Secara umumnya, mereka berpendapat, kemerosotan nilai ringgit yang berlaku ketika ini perlu diurus dengan baik bagi mengelakkan perkara itu menjejaskan kesejahteraan hidup rakyat.

Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata selain kemelut nilai ringgit, Malaysia juga ketika ini berhadapan dengan gangguan dalam pengeluaran dan import disebabkan perang yang berlanjutan antara Russia dan Ukraine.

Beliau berkata, isu luaran sebegitu memberi tekanan tambahan kepada barangan keperluan khususnya makanan, yang mana harga berpotensi untuk meningkat sekali gus memberikan impak negatif kepada pengguna.

Justeru itu, pengguna disaran menumpukan kepada membantu pemulihan ekonomi domestik iaitu dengan mengutamakan pembelian barangan keluaran tempatan terutamanya barangan keperluan asas serta mengurangkan pembelian barangan import.

"Selain dari itu, rakyat patut digalakkan untuk melancong di dalam negara memandangkan nilai mata wang ringgit yang lemah ketika ini.

"Situasi ini juga akan mengurangkan penghantaran ringgit oleh pekerja asing ke negara masing-masing dan ini membantu mengurangkan aliran tunai keluar negara.

"Kerajaan perlu mengadakan kempen belilah barangan tempatan dengan lebih serius untuk mengurangkan import barangan luar," katanya.

Aimi Zulhazmi berkata, Malaysia mengimport RM55 bilion nilai makanan setiap tahun sekaligus memberikan impak yang baik kepada negara.

Beliau berkata, seharusnya Malaysia membina rizab makanan sendiri berbanding bergantung kepada negara luar.

"Rakyat perlu diberikan insentif untuk bercucuk tanam bagi kegunaan sendiri terutamanya sayur dan buah supaya import makanan boleh dikurangkan.

"Mungkin kempen seperti buku hijau boleh diadakan kembali untuk memperbaiki rantaian nilai bekalan makanan tempatan," katanya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata rakyat sememang sudah perlu merancang pembelian barangan import serta keinginan untuk melancong.

Beliau berkata, ini kerana dua perkara ini dijangka akan mengalami kenaikan kos yang mendadak.

"Justeru, perlu ada perancangan yg rapi supaya wang yang dibelanjakan menepati belanjawan dan tidak menjejaskan tahap kewangan seseorang itu," katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, juga mempunyai pandangan sama, di mana rakyat harus bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan tempatan.

Beliau berkata, kenaikan ringgit bergantung kepada banyak faktor dalaman dan luaran dan oleh itu semasa ringgit melemah ketika ini, keutamaan harus diberi dalam menjana pengeluaran barangan tempatan dan meningkatkan lagi jualan eksport.

Sementara itu, Ahli Ekonomi, Prof Emeritus Datuk Dr Zakariah Abdul Rashid, berkata penurunan ringgit pastikan meningkatkan kos sara hidup khususnya susulan dari kos import yang tinggi.

"Penggunaan isi rumah terutamanya bahan makanan import yang selalu digunakan akan terkesan. Ini kerana banyak barangan kita bergantung kepada import.

"Kos sara hidup sudah sedia ada tinggi disebabkan dari pendapatan nominal isi rumah yang rendah, akan menjadi lebih tertekan," katanya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini