Ringgit turun lagi berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit turun lagi berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Rabu dalam keadaan sentimen berhati-hati menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan kadar faedah hari ini, kata penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.3820/3860 berbanding dolar AS daripada 4.3800/3850 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata peserta pasaran akan bertindak balas terhadap penilaian terkini yang dibuat mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengenai ekonomi, terutama berkaitan kadar dasar semalaman (OPR).

"Kita akan lihat apa penilaian mereka terhadap ekonomi dan yang lebih penting, sama ada akan berlaku kenaikan kadar faedah hasil daripada mesyuarat ini.

"Kami berpendapat BNM akan mengekalkan paras OPR semasa, yang berada pada 1.75 peratus, terendah dalam sejarah sejak kadar penanda aras itu diperkenalkan pada April 2004," katanya.

Sekiranya OPR lebih tinggi secara beransur-ansur, beliau menjangkakan BNM mungkin hanya mahu memastikannya stabil kerana tekanan inflasi masih berada dalam tahap pertimbangan mereka.

"Justeru, dolar AS-ringgit akan kekal stabil pada sekitar RM4.38," katanya.

Beliau berkata ini kerana tumpuan malam ini adalah kepada Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi April 2022.

Konsensus mengenai inflasi IHP ialah ia akan sederhana sedikit kepada 8.1 peratus berdasarkan anggaran, daripada 8.5 peratus pada bulan sebelumnya.

"Ia masih tinggi dan oleh itu, Rizab Persekutuan AS (Fed) akan kekal cenderung kepada kadar faedah tinggi. Kesimpulannya, dolar AS akan kekal kukuh dalam tempoh terdekat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3612/3645 daripada 3.3643/3684 ketika ditutup pada Selasa serta naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1496/1529 daripada 3.1499/1540.

Ringgit stabil berbanding euro kepada 4.6147/6189 daripada 4.6156/6209 semalam namun susut berbanding pound British kepada 5.3973/4022 daripada 5.3909/3971.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini