Ringgit dibuka tinggi menjelang laporan IHP - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit dibuka tinggi menjelang laporan IHP

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka tinggi berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, menjelang laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Mei 2022 yang dijadual dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4020/4050 berbanding dengan dolar AS daripada 4.4045/4075 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata IHP bagi Mei 2022 dijangka lebih tinggi iaitu pada tiga peratus dan menjadi petanda bahawa langkah normalisasi dasar monetari seterusnya mungkin dilaksanakan.

"Jika langkah itu diputuskan, mata wang tempatan akan disokong kerana prospek kadar dasar semalaman yang lebih tinggi akan membantu mengekalkan perbezaan kadar faedah dengan kadar AS pada tahap yang baik," katanya kepada Bernama.

Beliau juga berkata kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi akan terus mendorong sentimen semasa.

"Oleh itu, permintaan untuk mata wang selamat seperti dolar AS akan kekal kukuh," katanya

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dengan beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1653/1679 daripada 3.1682/1706 ketika ditutup pada Khamis, dan naik berbanding dengan euro kepada 4.6283/6314 daripada 4.6318/6349.

Ringgit bagaimanapun rendah berbanding dengan yen Jepun kepada 3.2583/2608 daripada 3.2534/2559 semalam dan susut berbanding dengan pound British kepada 5.3907/3944 daripada 5.3722/3758.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini