Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan mata wang negara maju mengukuh ketika potensi yang berterusan kepada kenaikan kadar faedah.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3950/3975 berbanding dolar AS daripada 4.3870/3910 pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata maklumat terkini data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) memberikan isyarat bahawa keadaan ekonomi Amerika Syarikat (AS) kekal positif dengan jumlah pekerjaan yang dihasilkan berjumlah 390,000 pada Mei, melebihi anggaran konsensus sebanyak 328,000.

Sehubungan itu, beliau berkata dolar AS mengatasi semua mata wang utama seperti euro, pound Britain dan yen.

"Oleh itu, dolar-ringgit perlu kekal dalam lingkungan RM4.39 hari ini, manakala tumpuan pada minggu ini akan terarah kepada mesyuarat Bank Pusat Eropah pada Khamis, selain Indeks Pengeluar Pengguna AS pada Mei dengan anggaran konsensus pada sekitar 8.2 peratus (April: 8.3 peratus)," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1889/1910 daripada 3.1947/1981 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5008/5039 daripada 5.5171/5221 sebelum ini.

Ia naik berbanding euro kepada 4.6956/6983 daripada 4.7143/7186 pada Jumaat dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.3230/3251 daripada 3.3728/3759 sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini