Ringgit hampiri RM4.40 berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

 


Ringgit hampiri RM4.40 berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa apabila Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka mengekalkan langkah mengetatkan monetarinya, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.3935/3960 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3870/3910 pada Jumaat minggu sebelumnya.

Pasaran ditutup pada Isnin bersempena dengan sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ahli Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS dijadualkan bermesyuarat minggu depan pada 14-15 Jun dan dijangka menaikkan lagi kadar sebanyak 50 mata asas.

"Indeks Harga Pengguna AS bagi Mei juga akan diumumkan minggu ini dengan kadar inflasi dijangka kekal tinggi. Hasil Perbendaharaan 10 tahun AS telah melepasi paras 3.0 peratus menandakan kadar pulangan kekal tidak ketara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1936/1957 daripada paras penutup 3.1947/1981 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.4963/4994 daripada 5.5171/5221 sebelumnya.

Ringgit juga mengukuh berbanding euro kepada 4.6892/6919 daripada 4.7143/7186 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3109/3130 daripada 3.3728/3759.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini