Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan unit tempatan itu mengalami pembetulan teknikal disebabkan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan itu turun sedikit berbanding dolar AS kepada 4.3980/4010 daripada 4.3960/3975 ketika ditutup pada Selasa.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran turut mempengaruhi pengukuhan dolar AS di tengah-tengah kekurangan pemangkin domestik untuk menaikkan mata wang tempatan itu.

"Bagaimanapun, harga komoditi yang tinggi mungkin akan membantu meningkatkan nilai ringgit pada masa hadapan," katanya.

Pada masa ini, penanda aras global minyak mentah Brent diniagakan pada US$118.2 setong, naik sebanyak 0.20 peratus.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding kumpulan mata wang utama yang lain.

Ringgit naik berbanding pound Britain kepada 5.3480/3516 daripada 5.3899/3918 ketika ditutup pada Selasa dan melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.2217/2242 daripada 3.2333/2346 sebelumnya.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1645/1671 daripada 3.1726/1742 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.6227/6259 daripada 4.6527/6543 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini