Ringgit kembali kukuh kepada RM4.25 menjelang akhir tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit kembali kukuh kepada RM4.25 menjelang akhir tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengukuh kepada paras RM4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini disokong asas ekonomi negara yang kukuh.

Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass, berkata dengan pelaburan langsung asing (FDI) kembali melonjak berikutan minat yang bertambah baik dalam pasaran ekuiti dijangka menyokong pergerakan ringgit pada separuh kedua tahun ini.

Katanya, persekitaran harga minyak mentah dan minyak sawit mentah (MSM) yang kekal tinggi tahun, boleh menjadi satu lagi faktor positif yang menyokong ringgit.

"Ringgit dijangka berlegar pada RM4.40 dan RM4.45 berbanding dolar AS pada separuh kedua tahun ini sebelum terus mengukuh RM4.25 menjelang akhir tahun.

"Mata wang kita masih berpotensi untuk susut sehingga RM4.50 disebabkan terutamanya oleh kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) AS," katanya pada taklimat media Unjuran Pasaran separuh kedua 2022 secara maya hari ini.

Mengulas lanjut, Dass berkata, data ekonomi menunjukkan sentimen sektor pembuatan dan perniagaan Malaysia pada separuh kedua kekal positif, dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam prospek perniagaan.

"Data ekonomi juga menunjukkan bahawa keyakinan isi rumah juga bertambah baik dengan peningkatan dalam pinjaman isi rumah serta peningkatan perbelanjaan kad kredit," katanya.

Melangkah ke hadapan, beliau menjelaskan pergerakan ringgit akan terus terjejas oleh pergerakan dolar AS, serta bagaimana renminbi China akan bertindak balas terhadap mata wang AS itu.

Beliau berkata, pengukuh dolar AS adalah disebabkan langkah pelonggaran dasar monetari Fed serta kelemahan renminbi yang memberi impak kepada ringgit memandangkan China adalah rakan dagang utama Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) masih memiliki penampan untuk menyokong ringgit dan menggunakan sekitar AS$8.6 bilion (RM37.77 bilion) yang dilihat mencukupi untuk menstabilkan ringgit.

"Pada kemuncak 2018 hingga 2019, BNM telah menggunakan hampir AS$24 bilion (RM105.4 bilion), justeru negara masih penimbal untuk berbuat demikian.

Ditanya sama ada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan memberi kesan kepada ringgit, Dass berpendapat, mata wang tempatan dijangka mengalami turun naik jika tempoh masa PRU-15 diadakan tidak jelas, namun ia hanya berlaku untuk tempoh jangka pendek.

"Saya menjangkakan ringgit akan terus mengukuh disokong asas ekonomi yang akan terus berkembang kerana perniagaan hari ini semakin memutuskan hubungan dengan faktor politik," katanya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini