Trend penurunan ringgit berterusan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Trend penurunan ringgit berterusan


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan trend penurunannya untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih kukuh berikutan peningkatan Perbendaharaan AS dalam keadaan kebimbangan terhadap inflasi global yang semakin pantas, menurut penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.3760/3820 berbanding dolar AS daripada 4.3755/3780 sewaktu ditutup pada Selasa.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit dijangka kekal lemah berikutan sentimen pasaran yang lebih banyak tertumpu kepada langkah mengenai kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).

"Kami percaya kebimbangan terhadap inflasi dan bagaimana bank pusat akan bertindak balas melalui penanda aras kadar faedah merupakan faktor utama yang memacu pasaran," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, dolar AS meraih kekuatan pada dagangan akhir bagi Mei dengan DXY menokok 0.12 peratus kepada 101.786 mata.

Mulai 1 Jun, Fed akan memulakan rancangannya untuk mengurangkan lembaran imbangannya yang kini berada pada AS$8.9 trilion.

Perbendaharaan AS 10 tahun meningkat 11 mata asas untuk ditutup kepada 2.84 peratus.

Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (FOMC) akan mengadakan pertemuan pada 14 dan 15 Jun dengan kenaikan Kadar Dana Fed separuh mata peratusan hampir ditetapkan, kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1935/1983 daripada 3.1929/1949 sewaktu ditutup pada Selasa, namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3944/3993 daripada 3.4202/4222.

Ia rendah berbanding pound Britain kepada 5.5155/5231 daripada 5.5144/5176 semalam dan menguncup berbanding euro kepada 4.6933/6997 daripada 4.6923/6950.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini