Nilai ringgit terus susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Nilai ringgit terus susut


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurunnya untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan data inflasi tinggi ditambah dengan kenaikan seterusnya mata wang ASitu, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, mata tempatan turun kepada 4.3805/3850 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3755/3780 pada Selasa.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak 2.5 peratus, disebabkan oleh kenaikan harga barang dan bahan api pada 2021.

Peningkatan itu adalah lebih tinggi berbanding kadar inflasi 0.7 peratus yang direkodkan semasa pra pandemik tahun 2019.

Penganalisis kanan pasaran OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley, berkata hasil Perbendaharaan AS yang tinggi semalaman telah menyokong kenaikan dolar AS, dengan indeks dolar meningkat 0.48 peratus kepada 101.78.

"Kekukuhan dolar AS menyebabkan mata wang Asia susut kembali daripada kenaikan hari sebelumnya, dengan ringgit, sekali lagi mencatatkan penurunan yang ketara," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.1928/1965 daripada paras penutup 3.1929/1949 pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3865/3903 daripada 3.4202/4222.

Unit tempatan susut berbanding pound Britain kepada 5.5159/5216 daripada 5.5144/5176 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.6985/7034 daripada 4.6923/6950.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini