Dagangan ringgit berakhir lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit berakhir lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian di tengah-tengah permintaan yang menyusut ke atas dolar AS menjelang mesyuarat Bank Pusat Eropah (ECB) pada Khamis, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan mengukuh kepada 4.4480/4510 daripada dolar AS berbanding 4.4520/4550 sewaktu ditutup pada Isnin.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata jangkaan bahawa ECB akan mempertimbangkan kenaikan kadar sebanyak 50 mata asas untuk mengurangkan inflasi yang tinggi, telah merangsang permintaan terhadap ringgit.

"ECB pada asasnya telah mengumumkan sebelum ini kenaikan 50 mata asas yang mengukuhkan euro pagi ini dan melemahkan dolar AS secara menyeluruh.

"Euro yang lebih kukuh mempunyai kesan positif ke seluruh pasaran mata wang, boleh dikatakan kuat daya penariknya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, apabila pasaran menetapkan kenaikan kadar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) sebanyak 75 mata asas berbanding kenaikan 100 mata asas, ia sekali gus turut memberi sedikit kelegaan kepada ringgit.

Menurut satu laporan, Rizab Persekutuan AS (Fed) dijangka melaksanakan kenaikan kadar 0.75 peratus lagi pada lewat bulan ini dan dilaporkan bergantung kepada peningkatan sebanyak 100 mata asas walaupun laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun mencatatkan prestasi kukuh.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1943/1966 berbanding 3.1884/1908 pada Isnin dan merosot berbanding yen kepada 3.2323/2347 daripada 3.2203/2227 sebelum ini.

Malah, ia turut menyusut berbanding pound kepada 5.3478/3514 daripada 5.3326/3362 semalam dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5592/5623 daripada 4.5223/5254.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini