Ringgit ditutup hampir tidak berubah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup hampir tidak berubah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berikutan pelabur terus dalam sentimen berhati-hati dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu.

Pada jam 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.4510/4540 berbanding dolar AS daripada 4.4515/4545 pada Jumaat.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Asia Pacific, Jeffrey Halley, berkata mata wang Asia terus berada di bawah tekanan berbanding dolar AS menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) dan musim pelaporan pendapatan.

"Kami menjangka turun naik dalam mata wang Asia akan meningkat dan kami mendapat lebih banyak input daripada mesyuarat FOMC AS dan data pendapatan AS," katanya.

Dalam negara, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Indeks Pelopor (IP) Malaysia kembali pulih untuk mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.2 peratus kepada 111.2 mata pada Mei 2022 berbanding 108.8 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya, menunjukkan prospek ekonomi positif dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Prestasi Indeks Serentak (IS) yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih baik dengan mencatatkan 6.4 peratus pada Mei 2022 daripada 5.3 peratus pada April 2022.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Mata wang tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2149/2175 daripada 3.2011/2038 pada Jumaat dan susut berbanding pound kepada 5.3621/3657 daripada 5.3187/3222 sebelum ini.

Ia turut merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2654/2678 daripada 3.2389/2413 sebelum ini dan berkurangan berbanding euro kepada 4.5574/5605 daripada 4.5201/5231.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini