Ringgit ditutup rendah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit ditutup rendah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini walaupun jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua angka sebanyak 43.4 peratus tahun ke tahun pada Jun 2022 untuk mencecah paras tertinggi baharu sebanyak RM270.4 bilion, kata penganalisis.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4500/4540 berbanding dolar AS daripada 4.4480/4510 pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata ringgit tidak memanfaatkan angka perdagangan yang kukuh berikutan pengeksport tempatan masih enggan menjual dolar AS disebabkan mereka masih bimbang dengan peningkatan kes COVID-19 di China.

"Situasi terus tidak menentu berikutan jangkitan harian melepasi 1,000 kes, mempengaruhi prospek pertumbuhan serantau dengan dasar sifar COVID yang terus menimbulkan masalah," katanya kepada Bernama.

Menurut laporan, tanah besar China melaporkan 108 kes baharu COVID-19 dengan gejala dan 827 kes tanpa gejala pada Selasa.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1978/2009 daripada 3.1943/1966 pada Selasa dan merosot berbanding pound kepada 5.3498/3546 daripada 5.3478/3514 sebelum ini.

Ia meningkat berbanding yen kepada 3.2202/2233 daripada 3.2323/2347 semalam dan naik berbanding euro kepada 4.5586/5627 daripada 4.5592/5623. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini