Ringgit terus diniagakan lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terus diniagakan lemah

 


KUALA LUMPUR: Ringgit terus menyusut nilai dan dibuka lebih rendah pagi ini kerana pasaran global yang masih tidak menentu mempengaruhi selera risiko pelabur untuk mendapatkan aset berisiko, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.4550/4570 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.4500/4540.

Rakan pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata mata wang tempatan lemah pagi ini apabila pelabur telah bersedia mengharungi cabaran risiko di Eropah, termasuk kenaikan kadar oleh Bank Pusat Eropah (ECB), ketegangan geopolitik di Itali dan ketidakpastian mengenai pengoperasian semula saluran paip gas asli luar pesisir, Nord Stream 1.

"Justeru, ini menyebabkan pasaran global kekal tidak stabil dan memberi kesan kepada sentimen pasaran.

"Selain itu, mata wang Amerika Syarikat (AS) mengukuh berikutan peningkatan hasil apabila pasaran menjangka Rizab Persekutuan AS akan menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas minggu depan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.1972/1989 daripada 3.1978/2009 pada hari Rabu dan meningkat berbanding pound Britain menjadi 5.3309/3332 daripada 5.3498/3546 sebelum ini.

Ringgit turut mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2173/2190 daripada 3.2202/2233 semalam dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.5379/5399 daripada 4.5586/5627 sebelumnya.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini