Ringgit menjunam ke paras terendah sejak Mac 2020 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit menjunam ke paras terendah sejak Mac 2020

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup pada paras terendah sejak Mac 2020 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah kebimbangan terkini mengenai kemelesetan selepas negara terbesar dunia melaporkan inflasi yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun pada Jun.

Pada 6 petang, mata wang tempatan merosot kepada 4.4435/4450 berbanding dolar AS daripada 4.4360/4385 sewaktu ditutup pada Rabu.

Harga pengguna AS melonjak 9.1 peratus, peningkatan ketara berbanding 8.6 peratus pada Mei apabila pasaran kini meramalkan kenaikan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (bps) pada bulan ini berbanding 75 bps sebelum ini.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata data inflasi itu adalah mengejutkan dan bank pusat lain menyahut seruan itu dengan Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) mengetatkan dasar bagi membendung inflasi.

Lembaga Monetari tersebut menaikkan kadar dasar utama BSP sebanyak 75 bps kepada 3.25 peratus berkuat kuasa serta-merta, manakala MAS telah meningkatkan sokongan kepada dolar Singapura dalam keputusan dasar di luar kitaran yang dilihat sebagai langkah mengekang inflasi.


MAS berkata, ia akan melaras semula titik pertengahan dalam julat dasar kadar tukaran efektif nominal dolar Singapura kepada paras semasa.


"Saya berpandangan, Rizab Persekutuan AS perlu melaksanakan kenaikan kadar meskipun ia menyebabkan berlakunya kemeseletan kecil.

"Sekiranya inflasi menjadi semakin kuat dalam ekonomi, mereka mungkin perlu langkah memperketat yang lebih panjang dan ini bererti, pertumbuhan akan menjadi lebih perlahan," katanya kepada Bernama sambil menambah premium risiko dolar AS sebagai aset selamat akan menjejaskan pasaran mata wang semasa termasuk ringgit.

Unit tempatan diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.2762/2780 daripada 5.2753/2783 pada Rabu, merosot berbanding euro kepada 4.4635/4650 daripada 4.4524/4549 dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1717/1732 daripada 3.1559/1582 semalam.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2009/2022 daripada 3.2358/2379 sebelum ini.


Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini