Ringgit dibuka lebih tinggi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka lebih tinggi


KUALA LUMPUR: Nilai ringgit terus meningkat untuk dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan minat belian yang berterusan, walaupun terdapat prospek aliran menurun bagi mata wang sedang pesat membangun termasuk ringgit, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menambah nilai kepada 4.4350/4390 berbanding dolar AS daripada penutupan Rabu pada 4.4360/4385.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS menunjukkan trend positif, disokong oleh pengeluaran data Indeks Harga Pengguna (CPI) yang melebihi jangkaan pada 9.1 peratus berbanding unjuran 8.8 peratus.

"Ini adalah peningkatan inflasi terbesar sejak November 1981, sekali gus membuka ruang untuk langkah yang lebih teruk oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang mungkin mempercepatkan lagi kenaikan kadar faedah AS.

"Sekiranya kadar faedah meningkat dengan cepat di AS, ini akan menyebabkan negara-negara lain mula menjual mata wang tempatan mereka untuk membeli lebih banyak dolar dan kemudian membeli bon kerajaan AS," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.2599/2647 daripada 5.2753/2783 pada hari Rabu, meningkat berbanding euro menjadi 4.4456/4497 daripada 4.4524/4549 dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2159/2190 daripada 3.2358/2379 semalam.

Bagaimanapun, ringgit menyusut nilai berbanding dolar Singapura pada 3.1781/1816 daripada 3.1559/1582 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini