Ringgit pulih selepas susut empat hari - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit pulih selepas susut empat hari


KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat semula daripada penyusutan selama empat hari berturut-turut untuk ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong minat belian yang diperbaharu.

Pada 6 petang Jumaat, mata wang tempatan meningkat berbanding dengan dolar AS kepada 4.4250/4270 daripada 4.4270/4285 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata bagaimanapun, dolar AS kekal stabil apabila Indeks Dolar AS (DXY) terus bergerak di atas 107 mata.

"Data pembayaran gaji bukan ladang (NFP) AS akan dikeluarkan hari ini dengan jangkaan konsensus ia sedikit rendah bagi Jun, susut kepada 268,000 pada Jun daripada 390,000 pada Mei, kesan penurunan sederhana yang dialami mata wang negara maju itu.

"Bagaimanapun, dolar AS dijangka disokong dengan baik menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 26 dan 27 Julai ini, dengan kemungkinan besar mesyuarat itu memutuskan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas lagi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kukuh kebanyakannya berbanding dengan beberapa mata wang utama.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dengan pound British kepada 5.2888/2912 daripada 5.3115/3133 ketika ditutup pada Khamis dan tinggi berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.1528/1547 daripada 3.1601/1616.

Ringgit stabil berbanding dengan euro kepada 4.4777/4797 daripada 4.5186/5197 semalam namun, rendah berbanding dengan yen kepada 3.2577/2595 daripada 3.2537/2551.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini