Dolar AS semakin mengukuh, ringgit jatuh lagi - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS semakin mengukuh, ringgit jatuh lagi

 


KUALA LUMPUR: Ringgit terus lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila mata wang negara maju itu kekal kukuh berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah AS yang agresif pada bulan-bulan akan datang susulan kenyataan pegawai Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

Dolar AS terus disokong selepas pegawai Fed dilihat menyangkal persepsi bahawa mereka akan memperlahakan kenaikan kadar faedah berikutan kadar faedah yang hampir memuncak, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4565/4590 berbanding dolar AS ketika ditutup 4.4550/4565 pada Rabu.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata walaupun risiko sentimen tempatan bergerak lancar tanpa bukti yang ketara peningkatan ketegangan hubungan China-Taiwan pada Khamis dengan indeks Bursa Malaysia ditutup tinggi, namun ringgit yang sedia lemah menjadi semakin menyusut.

"Walaupun sekiranya pelabur mula mengalihkan perhatian daripada peristiwa geopolitik, kebimbangan mengenai ekonomi domestik China membayangi risiko.

"China terus mempolitikkan kawalan COVID, yang membebankan ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit juga ditutup rendah berbanding kumpulan mata wang utama yang lain, kecuali yen Jepun.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding euro kepada 4.5398/5424 daripada 4.5396/5412 pada Rabu dan turun berbanding pound Britain kepada 5.4271/4302 daripada 5.4244/4262 sebelumnya.

Ia juga menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.2310/2333 daripada 3.2262/2277 ketika ditutup pada Rabu namun meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.3228/3251 daripada 3.3459/3472 semalam.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini