Dolar AS susut, ringgit mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dolar AS susut, ringgit mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit mengukuh ketika ditutup pada Selasa apabila dolar Amerika Syarikat (AS) kehilangan daya tarikan berbanding sekumpulan mata wang utama dalam persekitaran kebimbangan terhadap kadar faedah dan prospek inflasi global.

Pada 6 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.4745/4780 berbanding mata wang AS daripada 4.4885/4915 sewaktu ditutup pada Isnin.

Dilaporkan bahawa dolar AS merosot daripada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun selepas pemulihan dalam euro.

Angka terkini menunjukkan keyakinan pengguna Eurozone untuk bulan Ogos sejajar dengan unjuran berbanding paras terendah pada Julai, manakala kadar inflasi Sepanyol bergerak perlahan kepada 10.4 peratus tahun ke tahun walaupun kekal pada paras tinggi.

Data inflasi awal Jerman untuk bulan Ogos akan dikeluarkan lewat hari ini.

Di peringkat tempatan, kadar inflasi adalah sejajar dengan jangkaan pasaran sebanyak 4.4 peratus pada Julai.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa harga minyak yang stabil juga telah membantu melonjakkan ringgit untuk kekal pada paras tinggi hari ini.

Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) telah menyatakan bahawa ia akan mengurangkan pengeluaran jika perjanjian dengan Iran untuk menarik balik sekatan berlaku.

Harga minyak mentah Brent berada melebihi AS$102 setong.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2073/2103 daripada 3.2100/2126 ketika ditutup semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2335/2363 daripada 3.2385/2409.

Unit tempatan turun berbanding euro kepada 4.4884/4919 daripada 4.4705/4735 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.2472/2514 daripada 5.2439/2474.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini