Harga minyak jatuh, ringgit susut - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak jatuh, ringgit susut


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipengaruhi oleh kemerosotan harga minyak manakala mata wang AS itu terus mengukuh dalam persekitaran pesimisme am mengenai ekonomi global, kata penganalisis.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4830/4860 berbanding dolar AS daripada 4.4745/4780 pada Selasa.

Pasaran ditutup pada Rabu sempena cuti umum Hari Kemerdekaan.

Penganalisis Pasaran Kanan OANDA, Edward Moya, berkata harga minyak mentah jatuh berikutan peniaga tenaga menjangka tempoh yang sukar untuk pertumbuhan global, sebahagiannya berikutan aktiviti perkilangan di China yang terus perlahan.

"Harga minyak mentah telah diniagakan rendah berikutan pasaran minyak dilihat tidak begitu terhad lagi tetapi gelombang penurunan sebelum ini dijangka akan diikuti dengan pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC)," katanya kepada Bernama.

Pada masa ini, harga penanda aras minyak mentah Brent merosot 2.84 peratus kepada AS$96.49 setong.

Dalam pada itu, Moya berkata pelabur turut menantikan data Senarai Gaji Bukan Ladang AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.

"Kadar pengambilan pekerja yang perlahan masih memberi petunjuk kepada Rizab Persekutuan untuk kenaikan kadar yang lebih agresif pada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang akan datang," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2033/2059 daripada 3.2073/2103 pada Selasa, meningkat berbanding pound kepada 5.1931/1966 daripada 5.2472/2514 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2150/2174 daripada 3.2335/2363 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia merosot berbanding euro kepada 4.4942/4972 daripada 4.4884/4919 pada Selasa.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini