Ekonomi menggalakkan lonjak nilai ringgit - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ekonomi menggalakkan lonjak nilai ringgit

 


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin dengan minat belian untuk unit tempatan berterusan.

Ia disokong oleh data pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan serta sentimen yang kian mereda untuk dolar AS berikutan data inflasi terkini, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.4430/4480 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat pada 4.4435/4455.

Menurut laporan, memandangkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz menjangkakan pertumbuhan Malaysia akan terus meningkat pada suku ketiga, didorong oleh penggunaan swasta.

Minggu lalu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, berkata ringgit kekal stabil secara relatifnya berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia, walaupun dalam persekitaran dolar AS yang lebih kukuh.

Menurut gabenor, pada suku kedua 2022, kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit berada pada susut nilai kecil sebanyak 0.1 peratus.

Sementara itu, ringgit menyaksikan dagangan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama pagi ini.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.2424/2465 daripada 3.2406/2428 pada penutup Jumaat, dan lemah berbanding yen Jepun kepada 3.3956/3439 daripada 3.3292/3310 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.3956/4017 daripada 5.3975/3999 pada Jumaat dan meningkat sedikit berbanding euro pada 4.5621/5672 daripada 4.5759/5780 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini