Harga minyak kembali atas AS$100 setong, ringgit terus mengukuh - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Harga minyak kembali atas AS$100 setong, ringgit terus mengukuh


KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, didorong oleh aliran kenaikan harga minyak global, termasuk lonjakan harga minyak mentah Brent yang sekali lagi melepasi paras AS$100 setong.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.4655/4675 4.4655/4675 berbanding dolar AS daripada 4.4700/4730 pada akhir urus niaga semalam.

Harga minyak global naik hari ini berikutan peningkatan permintaan terhadap bahan api itu selepas Arab Saudi mencadangkan supaya Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) mempertimbang langkah untuk mengurangkan pengeluaran.

Penganalisis berkata, pelabur juga giat mencari petunjuk baharu daripada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell di Simposium Jackson Hole, lewat hari ini.

Menurut laporan media, bank pusat AS itu dijangka memanfaatkan kuasanya untuk meredakan tekanan inflasi dan Powell juga dijangka tidak memberikan sebarang petunjuk penting bagi kadar faedah sehingga mesyuarat seterusnya pada 21 September depan.

Ekonomi AS menguncup pada paras tahunan 0.6 peratus dalam suku kedua tahun ini berbanding unjuran penyusutan 0.9 peratus sebulan lalu, demikian menurut data Jabatan Perdagangan negara itu pada Khamis.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2140/2159 daripada 3.2174/2201 pada akhir urus niaga semalam dan mengukuh berbanding euro kepada 4.4668/4688 daripada 4.4673/4703, semalam.

Ringgit juga naik berbanding pound kepada 5.2831/2855 daripada 5.2902/2938 dan meningkat berbanding yen kepada 3.2619/2636 daripada 3.2750/2774,sebelum ini. 

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini