Ringgit cenderung untuk melonjak minggu depan - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit cenderung untuk melonjak minggu depan


KUALA LUMPUR: Ringgit cenderung untuk naik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada minggu hadapan berikutan kebimbangan terhadap keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk meningkatkan lagi kadar faedahnya.

Menurut Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, terdapat kemungkinan trend peningkatan ringgit berbanding dolar AS selepas kebimbangan terhadap keputusan menaikkan kadar faedah itu tercetus.

"Bagaimanapun, kenaikan kadar itu mungkin tidak menjadi satu lagi kenaikan tinggi seperti yang dijangkakan," katanya kepada Bernama, sambil menambah ringgit dijangka didagangkan dalam jajaran antara 4.4600-4.4800 berbanding dolar AS minggu depan.

Ekonomi AS telah menguncup pada kadar tahunan 0.6 peratus pada suku kedua tahun ini, berbanding penurunan 0.9 peratus yang dianggarkan pada bulan sebelum ini, menurut data yang dikeluarkan pada Khamis oleh Jabatan Perdagangan AS.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding dolar AS selepas dirangsang oleh kenaikan harga pasaran minyak yang kemudiannya telah melonjakkan penanda aras minyak mentah Brent sehingga melebihi aras AS$100.

Sementara itu, peniaga kekal dalam mod berhati-hati dan pada masa yang sama mencari hala tuju baharu daripada ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell di Simposium Jackson Hole semalam.

Pada Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.4655/4675 daripada 4.4760/4795 yang dicatatkan semasa minggu sebelumnya.

Ringgit diniagakan lebih baik berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.2619/2636 daripada 3.2767/2795 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.2831/2855 daripada 5.3126/3167.

Mata wang tempatan itu menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2140/2159 daripada 3.2225/2254 dan bertambah baik berbanding euro kepada 4.4668/4688 daripada 4.5069/5104.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini