Minyak mentah Brent kembali ke paras AS$100 - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Minyak mentah Brent kembali ke paras AS$100


TOKYO: Minyak mentah Brent kembali melepasi paras AS$100 berikutan kebimbangan yang mengurang berhubung pengurangan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+).

Harga komoditi itu bagaimanapun, 'berehat seketika' daripada lonjakan hampir empat peratus kelmarin.

Niaga hadapan penanda aras minyak mentah global, Brent susut 21 cent atau 0.2 peratus kepada AS$100.01 setong pada 0114 GMT, selepas ia melonjak 3.9 peratus pada Selasa.

Kontrak hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) susut 10 sen, atau 0.1 peratus kepada AS$93.64 setong, selepas ia melonjak 3.7 peratus pada hari sebelumnya.

Kedua-dua kontrak melonjak pada Selasa selepas pemimpin de facto OPEC, Arab Saudi menyatakan kemungkinan memperkenalkan pemotongan bekalan untuk mengimbangi pasaran yang disifatkan sebagai 'schizophrenic'.

Namun, potensi pengurangan pengeluaran OPEC+ mungkin tidak berlaku dan kemungkinan kembalinya Iran ke pasaran minyak sekiranya negara itu mencapai perjanjian nuklear dengan Barat, demikian menurut sembilan sumber OPEC memberitahu Reuters pada hari Selasa.

Seorang pegawai kanan AS memaklumkan, bahawa Iran telah menggugurkan beberapa tuntutan utamanya untuk mengembalikan semula perjanjian.

"Kenaikan pada Selasa adalah berlebihan kerana ramai pelabur tahu ia akan mengambil masa beberapa bulan untuk minyak Iran kembali 'mengalir' ke pasaran antarabangsa walaupun perjanjian untuk memulihkan perjanjian nuklear Tehran 2015 dibuat. Ia bermakna OPEC+ tidak akan mengurangkan pengeluaran dengan begitu cepat," kata Ketua Penganalisis Fujitomi Securities, Kazuhiko Saito.

"Namun, tiada banyak ruang untuk kemerosotan pasaran berikutan permintaan bahan api untuk pemanasan yang kukuh bagi musim sejuk," katanya sambil memetik bahawa kenaikan baru-baru ini dalam pasaran minyak pemanasan AS dan lonjakan harga gas asli telah meningkatkan jangkaan permintaan yang lebih kukuh dan bekalan minyak mentah yang lebih ketat.

Harga gas AS melonjak melebihi AS$10 buat kali pertama dalam tempoh kira-kira 14 tahun disebabkan lonjakan harga di Eropah, di mana keadaan bekalan yang ketat berterusan.

Dengan bekalan yang ketat, stok minyak mentah AS jatuh kira-kira 5.6 juta tong bagi minggu berakhir 19 Ogos, menurut sumber pasaran yang memetik angka American Petroleum Institute pada Selasa, berbanding anggaran penganalisis dalam tinjauan Reuters iaitu penurunan sebanyak 900,000 tong.

Bagaimanapun, inventori petrol meningkat kira-kira 268,000 tong, manakala stok sulingan meningkat kira-kira 1.1 juta tong.

Harga minyak melonjak pada tahun ini, hampir ke paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada AS$147 selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine yang memburukkan lagi kebimbangan ke atas bekalan.

Kebimbangan tentang kemelesetan global, kenaikan inflasi dan permintaan yang lebih lemah bagaimanapun, telah menjejaskan harga.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini