Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS


KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pagi ini menjelang pengeluaran senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS).

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan itu berada pada paras 4.4510/4535 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lalu pada 4.4485/4520.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata minggu ini akan menjadi minggu urus niaga penting untuk sentimen risiko menjelang pengeluaran data NFP, namun, ia mungkin tidak akan banyak membantu pergerakan nilai ringgit.

"Ringgit telah disokong oleh hasil AS yang lebih rendah tetapi peralihan itu dijangka terganggu sementara kerana peniaga telah bersedia untuk berhadapan dengan data pekerjaan AS minggu ini.

"Saya menjangkakan ringgit akan diniagakan dalam julat yang agak ketat menjelang pengeluaran data berkenaan," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 3.3489/3513 daripada penutupan Jumaat 3.3347/3368, susut berbanding pound Britain kepada 5.4186/4217 daripada 5.4048/4078 dan lemah berbanding euro kepada 4.5489/5515 daripada 4.5385/5410 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2226/2246 daripada 3.2243/2266 pada Jumaat lepas.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini