Ringgit dijangka diniaga dalam jajaran kecil minggu ini - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit dijangka diniaga dalam jajaran kecil minggu ini


KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil dengan kecenderungan meningkat berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) minggu ini, didorong sentimen risiko yang bertambah baik bagi mata wang tempatan, kata penganalisis.

Rakan Kongsi Pengurusan, SPI Asset Management, Stephen Innes berkata ringgit mungkin diniagakan lebih baik sejajar dengan kelemahan umum yang dialami dolar AS dalam situasi kebimbangan mengenai kemelesetan yang semakin meningkat.

Beliau berkata bagi minggu ini, pelabur akan memberi tumpuan kepada data pembayaran gaji bukan ladang AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat di mana pelabur sebenarnya mengharapkan sedikit kelemahan.

"Memandangkan Rizab Persekutuan AS (Fed) kini berada dalam situasi bergantung kepada data, sebarang laporan negatif akan menjadi baik bagi sentimen risiko kerana ia boleh menggalakkan Fed mengurangkan semula kuantum kenaikan kadar," katanya kepada Bernama.

Pada Khamis, Fed mengumumkan kenaikan kadar faedah sebanyak 75 mata asas, menjadikan kadar penanda arasnya berada dalam julat 2.25 hingga 2.50 peratus, manakala pengerusinya, Jerome Powell berkata akan ada satu ketika di mana Fed mula memperlahankan kenaikan itu untuk menilai kesannya .

Sementara itu, data ekonomi AS terkini menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 0.9 peratus pada suku kedua 2022.

Innes berkata berdasarkan sentimen semasa, ringgit berkemungkinan diniagakan dalam julat 4.4375 hingga 4.4575 berbanding dengan dolar AS minggu ini.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding dengan dolar AS susulan peniaga kekal berhati-hati ekoran turun naik ketara pasaran di samping menunggu data ekonomi AS dikeluarkan.

Pada Jumaat, ringgit meningkat berbanding dengan dolar AS kepada 4.4495/4520 daripada 4.4515/4545 minggu lalu.

Unit tempatan, bagaimanapun, didagangkan rendah berbanding dengan beberapa mata wang utama pada asas Jumaat ke Jumaat.

Ringgit susut berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.2243/2266 daripada 3.2011/2038 minggu lepas dan lemah berbanding dengan yen Jepun kepada 3.3347/3368 daripada 3.2389/2413.

Mata wang tempatan turun berbanding dengan pound British kepada 5.4048/4078 daripada 5.3187/3222 minggu lepas dan rendah berbanding dengan euro kepada 4.5385/5410 daripada 4.5201/5231.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini