Ringgit merosot, dolar AS tertinggi dalam tempoh 20 tahun - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit merosot, dolar AS tertinggi dalam tempoh 20 tahun


KUALA LUMPUR: Ringgit kembali merosot kepada paras terendah sejak Januari 2017 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan unit negara maju naik kepada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun berbanding mata wang utama selepas Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell menegaskan kadar yang tinggi dijangka berterusan untuk tempoh yang belum dapat dikenal pasti.

Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah isyarat bahawa inflasi ekonomi terbesar dunia itu tidak menunjukkan sebarang tanda penurunan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.4885/4915 berbanding dolar AS daripada 4.4655/4675 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Seorang penganalisis memberitahu Bernama bahawa pasaran kini mengunjurkan kenaikan kadar faedah AS sebanyak 75 mata asas ketika mesyuarat Fed pada September dengan kadar antara 3.75-4.0 peratus menjelang akhir tahun ini.

OPR dijangka naik 0.5 peratus lagi tahun ini - Fitch Solutions

Dalam negara, Indeks Harga Pengguna Malaysia (IHP) meningkat 4.4 peratus tahun ke tahun kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun lalu.

Inflasi untuk tempoh Januari hingga Julai 2022 menokok 2.8 peratus berbanding tempoh sama pada 2021.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, trend kadar inflasi yang tinggi adalah fenomena global yang turut dialami oleh banyak negara berikutan kenaikan input pengeluaran dan harga bahan api.

Bagaimanapun, Mustapa berkata kadar inflasi di Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia.

Beliau berkata kadar pada Julai 2022 adalah lebih rendah berbanding United Kingdom (10.1 peratus), Zon Euro (8.9 peratus), AS (8.5 peratus), Thailand (7.6 peratus), Singapura (7.0 peratus), Filipina (6.4 peratus), Korea (6.3 peratus) dan Indonesia (4.9 peratus), katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama, kecuali berbanding euro dengan merosot kepada 4.4705/4735 berbanding 4.4668/4688 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2100/2126 daripada 3.2140/2159, naik berbanding pound Britain kepada 5.2439/2474 daripada 5.2831/2855 dan menokok berbanding yen Jepun kepada 3.2385/2409 daripada 3.2619/2636 pada Jumaat.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini