Ringgit sekali lagi ditutup lemah - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit sekali lagi ditutup lemah


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memandangkan dolar terus kekal menarik sebagai mata wang selamat susulan situasi elak risiko yang meningkat dalam kalangan peserta pasaran.

Daya tarikan sebagai mata wang selamat itu juga menunjukkan permintaan berterusan terhadap bon, didorong oleh ketegangan geopolitik yang semakin meningkat menjelang lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan, yang menambah ketegangan AS-China, kata peniaga.

Pada 6 petang, mata tempatan susut kepada 4.4540/4565 berbanding dengan dolar AS daripada 4.4529/4540 ketika ditutup pada Isnin.

Ahli Ekonomi Bebas, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit masih berada dalam jajaran sempit berbanding dengan dolar AS ekoran kekurangan pemangkin untuk melonjakkannya dalam jangka masa terdekat.

"Indeks Pengurus Pembelian (IPP) di seluruh dunia secara amnya menunjukkan kadar pengembangan ekonomi semakin perlahan manakala bank-bank pusat utama kekal bertegas untuk mengurangkan bekalan wang dalam usaha meredakan tekanan inflasi.

"Selain itu, situasi risiko geopolitik juga samar memandangkan kemungkinan lawatan Pelosi ke Taiwan yang akan memburukkan lagi risiko reaksi negatif dari China. Indeks Dolar AS (DXY) didapati semakin meningkat hari ini kepada 105.514 mata," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes, berkata wujud keadaan panik yang berlarutan dalam pasaran Asia disebabkan lawatan Pelosi ke Taiwan, yang menimbulkan kebimbangan mengenai mata wang negara Asia.

"Ringgit diniagakan sepanjang hari ini dengan pergerakan lemah pada RM4.45. Selain itu, respons ke arah kadar faedah lebih tinggi daripada Rizab Persekutuan AS terhadap harga yang lebih rendah oleh pasaran semasa, dijangka memberi tekanan lagi ke atas mata wang Malaysia.

"Di peringkat makro, tumpuan kekal kepada data ekonomi AS minggu ini, termasuk data pembuatan ISM bagi Julai 2022 dan pembayaran gaji bukan ladang AS pada Jumaat," katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding dengan beberapa mata wang utama kecuali yen Jepun.

Ringgit meningkat berbanding dengan euro kepada 4.5587/5612 daripada 4.5695/5716 pada Isnin, dan naik berbanding dengan pound British kepada 5.4406/4436 daripada 5.4524/4548.

Unit tempatan tinggi berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.2278/2301 daripada 3.2345/2364 ketika ditutup semalam, namun susut berbanding dengan yen Jepun kepada 3.4031/4053 daripada 3.3735/3753.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini