Ringgit terendah lebih 5 tahun berbanding dolar AS - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Ringgit terendah lebih 5 tahun berbanding dolar AS

 


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa ketika pelabur mengutamakan aset selamat di tengah-tengah kebimbangan mengenai kadar faedah baharu menjelang pengumuman minit mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) esok.

Pada jam 6 petang, ringgit di paras 4.4660/4680 berbanding dolar AS daripada 4.4570/4595 pada akhir urus niaga semalam.

Kali terakhir nilai mata wang tempatan di paras berkenaan adalah pada Februari 2017.

Pasaran memberikan sentimen berbeza berhubung tindakan Fed dari segi kadar faedah untuk beberapa bulan akan datang.

"Ketika segelintir penganalisis menjangkakan kenaikan kadar faedah lebih ketara, ada yang percaya langkah pengurangan inflasi pada Julai telah meredakan jangkaan berlakunya kenaikan baharu," kata seorang peniaga kepada Bernama.

Selain itu, kalangan penggiat pasaran juga menunggu pengumuman data permit bangunan AS yang akan menjadi petunjuk tahap sektor hartanah negara maju itu.

Ini berikutan tindakan mengejut China mengurangkan kadar faedah yang dilihat memburukkan lagi kebimbangan mengenai penyusutan pertumbuhan ekonomi global dalam keadaan pengeluaran perindustrian dan jualan runcit yang perlahan serta krisis hartanah yang terus meruncing.

Peniaga itu berkata, penyusutan harga minyak turut menyumbang kepada kelemahan ringgit.

Harga minyak mentah Brent merosot AS$0.80 kepada AS$94.31 setong manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) turun AS$0.40 kepada AS$89.01 setong.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.

Unit tempatan itu naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2346/2365 daripada 3.2379/2402 pada akhir urus niaga Isnin dan meningkat berbanding yen Jepun pada 3.3284/3301 daripada 3.3393/3415.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.3686/3710 daripada 5.3796/3826 semalam dan meningkat berbanding euro pada 4.5258/5279 daripada 4.5488/5514 pada akhir dagangan Isnin.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini