Dagangan ringgit lemah menjelang pengumuman OPR - #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers

Dagangan ringgit lemah menjelang pengumuman OPR


KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini apabila peniaga kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 7-8 September, kata penganalisis.

Pada 6.15 petang, mata wang tempatan turun kepada 4.4900/4940 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4855/4870 pada Jumaat minggu lalu.

Ahli Ekonomi Kanan UOB Malaysia, Julia Goh, berpendapat penurunan ringgit akan berlaku secara perlahan-lahan kerana asas negara masih kekal kukuh di tengah-tengah pertumbuhan pesat ekonomi dan lebihan akaun semasa yang berterusan.

"Kami menjangkakan MPC BNM akan terus menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada mesyuarat minggu ini. 

"Selagi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat kekal menaikkan kadarnya pada bulan-bulan yang akan datang dan kebimbangan berterusan terhadap pertumbuhan ekonomi China, kami merasakan kebanyakan mata wang Asia termasuk ringgit akan berada dalam situasi defensif berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.  

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed, berkata ringgit dijangka kekal berada dalam tekanan dalam tempoh terdekat ini tetapi pulih semula apabila harga minyak melantun semula. 

"Mata wang utama dunia menyusut nilai berbanding dolar AS dan kami menjangkakan aliran ini akan berterusan sehingga kita melangkah ke suku terakhir. Keyakinan terhadap ringgit dijangka kembali semula dan ia mengekalkan kestabilan struktur bagi tempoh jangka panjang," katanya.

Oleh itu, beliau berkata, ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran 4.0500 hingga 4.3500 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun, berasaskan kepada harga minyak tinggi, kestabilan makroekonomi, angka perdagangan tinggi dan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.  

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding kumpulan mata wang utama lain. 

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1978/2011 daripada paras penutup 3.1996/2009, naik berbanding pound kepada 5.1689/1735 daripada 5.1888/1906 dan menokok berbanding euro kepada 4.4590/4630 daripada 4.4873/4888. 

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding yen kepada 3.1966/1997 daripada 3.1950/1963 sebelumnya.

Share this:

 
Copyright © #ForexKini - Informasi Forex Terkini - #Forex #ForexMalaysia #ForexBrokers. Designed by FXKini